Sembilan ditahan bersama 37.93 gram syabu

Sandakan: Sembilan lelaki termasuk seorang warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Kampung Sentosa, Batu 10, Jalan Labuk, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 6 petang itu, pasukan operasi turut berjaya merampas 37.93 gram dadah jenis syabu daripada beberapa suspek.

Dadah syabu yang dirampas dalam operasi berkenaan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan Tiger Platoon BN15 dan Unit Task Force Perisikan PGA Sandakan.

Katanya, semua lelaki yang ditahan membabitkan lapan warga tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan 24 hingga 53 tahun.

“Hasil pemeriksaan badan, pasukan operasi menemui lima bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 37.93 gram yang dianggarkan bernilai RM3,793,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|