Sekolah ditutup jika ada dua kes jangkitan Covid-19 – Masidi

Sekolah ditutup jika ada dua kes jangkitan Covid-19 – Masidi

Kota Kinabalu: Sekolah di Sabah akan ditutup serta-merta selama seminggu jika terdapat sekurang-kurangnya dua orang positif Covid-19 yang membabitkan satu penularan dalaman.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu dilaksanakan selepas penularan terbabit disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, selain murid atau pelajar, kes jangkitan Covid-19 yang membabitkan guru atau kakitangan sekolah turut diambil kira dalam melaksanakan penutupan sekolah.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah tatacara penutupan sekolah jika berlaku jangkitan Covid-19 yang diputuskan melalui Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19.

“Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama sahaja dibenarkan pulang ke asrama (penuh/harian) bagi meneruskan sesi pembelajaran pada 7 Februari 2022,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata tatacara itu dibuat berdasarkan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Sabah yang menyaksikan peningkatan mendadak kes serta kluster baharu berkaitan institusi pendidikan.

Berdasarkan laporan sejak 16 Januari lalu, sebanyak 17 kluster Covid-19 berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan direkodkan di Sabah sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster adalah institusi pendidikan fasiliti Kementerian Pendidikan (KPM), manakala dua lagi iaitu Kluster Pandan-Pandan, Putatan (madrasah) dan Kluster Lorong Api-Api di Kota Kinabalu (Kolej) bukan fasiliti KPM.

Kluster membabitkan fasiliti KPM di Sabah setakat ini ialah Kluster Jalan Kepayan Lama, Tambunan; Kluster Puri, Ranau; Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan; Kluster Jalan Bypass Kologon, Ranau; Kluster Jalan Sri Balung, Tawau; Kluster Jalan Teritipan, Kota Marudu; Kluster Jalan Kiulu, Tuaran; Kluster Jalan Terusun, Lahad Datu; Kluster Puri Seberang Keningau, Keningau; Kluster Batu 24 Nabalu; Kluster Jalan Apas Batu Lima, Tawau; Kluster Jalan Pendidikan, Ranau; Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh, Sandakan; Kluster Jalan Tandek, Kota Marudu dan Kluster Jalan Taman Beringin, Kota Marudu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|