Segerakan bina semula Klinik Kesihatan Mansiat – Shahelmey

Segerakan bina semula Klinik Kesihatan Mansiat – Shahelmey

Keningau: Pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat, dekat sini, yang musnah dalam kebakaran, kelmarin perlu disegerakan bagi memastikan rutin perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini klinik berkenaan masih beroperasi secara klinik bergerak dan menggunakan dewan masyarakat sebagai alternatif lain.

Shahelmey bertemu masyarakat di Dewan Masyarakat Datuk Bobbey Suan Kampung Murni C, Nabawan.

Beliau yang juga Exco Kesihatan negeri berkata, pihaknya dalam masa sama turut meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi keperluan terbabit.

“Saya difahamkan operasi Klinik Kesihatan Mansiat kini dijalankan melalui klinik bergerak dan dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.

“Berikutan itu, saya menyeru kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memberi perhatian dan juga tindakan segera bagi pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat.

“Ia bagi memastikan penduduk di sekitar kawasan berkenaan mendapat perkhidmatan kesihatan dalam keadaan lengkap dan selesa,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Prihatin Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat daerah Keningau di Dewan Taman Kali, di sini, pagi tadi.

Klinik Kesihatan Mansiat, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan kecil Sook atau 100 kilometer dari pekan Keningau, musnah sama sekali dalam kebakaran pada Selasa lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Shahelmey berkata kementeriannya sentiasa berusaha dalam menambah baik perkhidmatan mereka dalam membantu masyarakat.

Katanya, pemimpin masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membantu masyarakat terutamanya dalam pengemaskinian data di kawasan masing-masing.

“Saya mengambil kesempatan untuk turun ke daerah Keningau dan Nabawan hari ini untuk melihat sendiri keadaan masyarakat kita dan melihat hasil kerja Jabatan Kebajikan di daerah ini untuk memahami sekiranya ada lagi peluang-peluang penambahbaikan dalam perkhidmatan berkaitan kebajikan kepada rakyat di Sabah.

“Pemimpin masyarakat setempat perlu sama-sama membantu pihak kerajaan dalam pengemaskinian data penduduk setempat agar tiada rakyat tercicir daripada menerima bantuan bagi yang layak,” jelasnya.

Tambahnya, sebanyak sembilan Program Prihatin KPMKR akan dilaksanakan di daerah-daerah yang berbeza bagi menyantuni golongan rentan di negeri ini.

Semoena program berkenaan, bakul makanan turut diagihkan kepada penerima bantuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|