
Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan terus berusaha memantapkan lagi masa depan sukan bola sepak negeri menerusi pelbagai program pembangunan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa.
Ia termasuk usaha melahirkan lebih ramai jurulatih penjaga gol berpengalaman untuk melahirkan penjaga gawang berkaliber pada masa akan datang.

Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom berkata, kursus anjuran SAFA kali ini diadakan selama seminggu bermula 23 Mac lalu hasil kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, program berkenaan dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman, Jurulatih Kris Yong Wai Hwang dari FAM dan dibantu bekas penjaga gol Sabah, Irwan Jamil.
“SAFA amat komited untuk melahirkan lebih ramai jurulatih baharu dan berkualiti untuk diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Usaha itu selari dengan fungsi sebenar SAFA dalam memastikan pembangunan bola sepak berterusan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan kursus yang diadakan di Dewan Maksak, di sini, hari ini.
David berkata, SAFA juga sentiasa bekerjasama dengan FAM dalam menganjurkan pelbagai program bagi melahirkan tenaga pengajar yang sudah pasti memberi sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak negeri dan negara secara umumnya.
Sementara itu, jurulatih kursus Kris Yong berkata, sepanjang kursus ini dijalankan, beliau mendapati Sabah mempunyai ramai bakat yang boleh diketengahkan.
Katanya, mereka bukan saja mempunyai kelebihan dari aspek fizikal tetapi juga teknik yang boleh digunapakai untuk melahirkan lebih ramai penjaga gol.
“Sabah ada keistimewaan tersendiri, cuma apa yang diperlukan adalah mereka yang berkebolehan untuk mencungkil bakat terpendam.
“Setiap kejayaan itu perlu ada permulaan, perjalanan anda masih panjang dan jangan cepat putus asa,” katanya.
Kris Yong berkata, semua orang masih dahagakan ilmu pengetahuan dan perlu belajar sesuatu yang baharu, itulah semangat yang diperlukan.
Sementara itu, Kursus Penjaga Gol AFC Tahap 1 itu disertai seramai 14 jurulatih, bukan saja dari Sabah tetapi juga beberapa negeri termasuk Sarawak, Kelantan dan Selangor.
Antara yang menyertai kursus ini termasuk bekas penjaga gol Sabah era 1980-an, Awal Taham dan penjaga gawang era 1990-an, Austin Orow.
-Deasoka