
Kinabatangan: Agenda pembangunan bola sepak di daerah ini dapat diperkukuhkan menerusi penambahbaikan termasuklah pembangunan beberapa kemudahan seperti padang latihan, asrama, gelanggang futsal dan pejabat persatuan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Kinabatangan, Omar Maya Amat berkata, berbekalkan kemudahan itu, ia mampu melahirkan pemain berbakat dan berkualiti untuk diketengahkan kepada peringkat lebih tinggi.

Katanya, setakat ini, SAFA sedang dalam proses permohonan tapak pejabat persatuan dan ia diharap dapat menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
“Pembangunan bola sepak harus dititikberatkan bermula dari akar umbi dan sudah pasti pembangunan kemudahan serta fasiliti itu akan mampu memberansangkan pembangunan bola sepak di daerah dan negeri ini.
“Oleh itu, kerjasasama antara semua ahli-ahli SAFA amat diperlukan bagi menjayakan program pembangunan bola sepak khususnya di daerah Kinabatangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Omar Maya yang baru dilantik ke jawatan berkenaan berkata, cadangan yang diutarakan itu juga adalah kesinambungan kepada halatuju Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam membangunkan bola sepak di negeri ini.
Sementara itu, Omar Maya berkata, seramai enam jurulatih sudah dilantik di daerah ini bagi menambah baik mutu bola sepak khususnya di Kinabatangan.
Katanya, ia diharap dapat membantu dalam melahirkan pemain-pemain berbakat untuk mewakili daerah, negeri mahupun negara.
“Enam jurulatih terbabit adalah Harun Mursidi dan Ahamad Amirbit yang dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih pasukan bolasepak Kinabatangan.
“Dua lagi jurulatih iaitu Danish Danial dan Arizsam Zainol pula dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak remaja manakala Jeson Hilod dan Siti Khadizah Amirbit dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak wanita,” katanya.
Omar Maya berkata, semua jurulatih itu berperanan untuk menyediakan program pembangunan pasukan masing-masing sepanjang tahun.
-Deasoka