
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk mewajibkan pelawat dari luar negara menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan dos penggalak sebelum memasuki negeri ini.
Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelarasan akan dibuat selepas pihaknya menerima butiran terperinci prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan semula sempadan negara.
Katanya, Sabah berdepan dengan cabaran kerana negeri ini akan terus menerima kemasukan daripada pelawat asing terutama dari Filipina dan Indonesia.
“Kita akan pertimbangkan untuk buat pelarasan kepada SOP, namun kita kena tunggu butiran SOP dahulu.
“Dalam kes di Sabah, kita berdepan sedikit cabaran kerana kita berterusan menerima kemasukan melalui bot dari Filipina dan Indonesia dan malangnya di wilayah itu tidak setinggi kita (individu divaksin),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian vaksin Covid-19 bagi dos penggalak dan kanak-kanak di lobi Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas sempadan negara dibuka ada kemungkinan pelawat yang tiba di Sabah dari negara luar tidak divaksin.
“Sebab itu kita jadikan mandatori untuk pengunjung luar negara mesti lengkap vaksin dan dos penggalak.
“Sebab itu kita kena buat pelarasan SOP untuk pastikan setiap orang yang datang ke Sabah terutama mereka yang datang menggunakan bot adalah sudah diberikan vaksin,” katanya.
Masidi yang juga jurucakap harian perkembangan Covid-19 Sabah menjangkakan kehadiran pelawat dari luar negara akan bertambah seperti sebelum pandemik.
“Mungkin ini juga satu isyarat kenapa kita perlu pastikan kita sudah menerima vaksin, dos penggalak dan kanak-kanak turut diberikan vaksin.
“Kenapa kita perlu diberi vaksin, ini kerana apabila lebih ramai orang luar berada di tempat kita ertinya risiko semakin tinggi kerana kita bukan saja berinteraksi dengan rakyat sendiri tetapi juga dengan orang luar yang kita tidak tahu latar belakangnya,” katanya.
-Deasoka