
{"subsource":"done_button","uid":"431BF705-2258-4EC9-889D-DADFB8281D9E_1635759118314","source":"other","origin":"gallery","is_remix":false,"used_sources":"{"version":1,"sources":[]}","source_sid":"431BF705-2258-4EC9-889D-DADFB8281D9E_1635759118332","premium_sources":[],"fte_sources":[]}
Kota Kinabalu: Tiga pemain import Sabah FC bersama beberapa pemain tempatan lain mungkin tidak diturunkan menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi pertama Liga Super 2022 di Stadium Likas, esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata dua pemain import dari Brazil, Neto Pessoa dan Jackson De Souza serta Taiki Kagayama dari Jepun dan beberapa pemain lain belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Kita masih mempunyai tempoh sebelum sepak mula Liga Super. Paling penting kita harus melihat dari segi kecergasan mereka sebelum memikirkan sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya.
“Kita tidak harus memikirkan hanya perlawanan pertama atau kedua, tetapi perlawanan-perlawanan seterusnya kerana tempoh liga agak panjang.
“Saya perlu memikirkan jangka masa panjang untuk pastikan semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kim Swee berkata peluang bermain tiga perlawanan pertama di laman sendiri temasuk saingan Piala FA harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buahnya.
“Sebagai tuan rumah ini adalah kesempatan terbaik bagi memastikan Sabah FC bersedia mencipta kemenangan,” katanya.
Mengulas lanjut pertemuan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC, Kim Swee berkata Sabah FC sudah bersiap sedia melayani kunjungan mereka nanti.
“Kita tidak memandang rendah kemampuan Negeri Sembilan FC meskipun mereka baru dinaikkan ke Liga Super musim ini
“Mereka mempunyai barisan pemain berkualiti sekali gus boleh menjadi ancaman menjelang pertemuan nanti.
“Begitu juga dengan pertemuan kedua pada 9 Mac menentang pasukan PJ City FC yang mempunyai gandingan pemain tempatan yang cukup berpengalaman,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak memandang rendah saingan dalam Piala FA meskipun berdepan laman dari Liga M3.
“Skuad Sang Badak harus bersiap sedia tidak kira menentang pasukan dari Liga Super, Liga Premier atau M3,” katanya.
Sabah FC akan menentang Respect FC yang bermain dalam Liga M3 pada saingan Piala FA di Stadium Likas, 12 Mac ini.
-Deasoka