Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan dasar yang kukuh dalam usaha untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak ‘spin-offs’ ekonomi seperti yang dibuktikan dalam Belanjawan Negeri 2023 bernilai RM5.138 bilion yang diluluskan baru-baru ini.
Beliau berkata, di bawah inisiatif mesra pelabur Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik.
“Yang terbaru ialah projek keluli hijau bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Menerusi projek ini, kita akan memperoleh RM33.4 bilion termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini dalam proses untuk dilaksanakan.
“Sabah juga dijangka mengutip hasil tambahan RM2.45 bilion setahun dalam bentuk royalti dan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada minyak dan gas,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2023, hari ini.
Katanya, sekarang adalah masa untuk semua pihak merapatkan barisan atau saf, bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan supaya kita boleh terus melakukan yang terbaik untuk Sabah.
“Marilah kita semua bersatu terus ke hadapan dan fokus kepada pemulihan ekonomi. Masih banyak yang perlu dilakukan.
“Tahun 2022 merupakan tahun yang baik dan kami telah melakukan yang terbaik di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ. Kejayaan kita adalah bukti bahawa kita berada di landasan yang betul.
“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan momentum dan menetapkan sasaran kepada lebih banyak peluang yang boleh dimanfaatjan dalam pelbagai sektor di seluruh Sabah.
Jelas beliau, semua kejayaan dan perancangan masa depan ini tidak bermakna tanpa persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan.
Justeru, katanya, bagi memastikan keadaan ini, adalah penting untuk kita mempunyai kestabilan politik, dan menghalang sebarang bentuk perpecahan yang hanya akan memisahkan rakyat.
“Kita melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian dan melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita.
“Justeru, marilah kita berganding bahu merealisasikan empat tonggak pertumbuhan untuk menyokong agenda pembangunan Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu. Kita boleh melakukannya!
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya dalam Kerajaan Negeri termasuk penjawat awam dan juga rakyat atas sokongan berterusan mereka.
“Kita berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
-Deasoka