
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM24 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan sumber manusia sejajar penekanan berterusan terhadap aspek berkenaan, tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan pembabitan pelbagai pihak termasuk sektor swasta dalam program pembangunan sumber manusia di Sabah.

“Selain menumpukan kepada sektor utama untuk memulih dan mengembangkan pertumbuhan ekonomi, kita turut menekankan pembangunan sumber manusia dan kesejahteraan rakyat dalam teras kedua Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya sudah menjelaskan perkara ini dalam pembentangan Belanjawan 2022 yang mana sejumlah dana diperuntukkan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan untuk pembangunan sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Sabah 2021, di sini, hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata antara lain peruntukan RM24 juta itu adalah untuk melaksanakan kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan.
Katanya, ia bagi mengukuhkan pembangunan sumber manusia dan melahirkan generasi yang berkelayakan serta berdaya tahan.
Beliau berkata, ia termasuk Program Bakat Sabah dan Pembangunan Keusahawanan bagi membantu belia yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.
“Yang terbaharu ialah ialah pembukaan Pusat Produk SME di Kota Kinabalu, Beaufort dan Ranau serta kerjasama dengan rangkaian pasar raya.
“Ini akan membantu sektor peruncitan tempatan bagi mereka yang mahu membesarkan perniagaan.
“Sejumlah RM5.76 juta juga diperuntukkan untuk mewujudkan empat lagi Pusat SMI pada tahun ini di peringkat daerah untuk memasarkan produk SMI.
“Begitu juga Program Bimbingan SMI (BAIKS) yang setakat ini membantu seramai 3,269 usahawan di negeri ini akan dipergiatkan lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji memuji usaha Shell memperkenalkan program pembangunan keusahawanan di Sabah sejak tujuh tahun lalu yang memberi manfaat kepada orang muda Sabah.
Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan semua pihak termasuk sektor swasta untuk melengkapkan usaha pembangunan seperti digariskan dalam pelan pembangunan lima tahun negeri, Halatuju SMJ.
“Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa program LiveWIRE Shell menyokong usahawan tempatan untuk mengakses pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber serta menukar idea perniagaan mereka menjadi perniagaan yang berjaya,” katanya.
Hajiji turut menggesa usahawan di negeri ini untuk berfikir di luar kotak dan menggunakan pendekatan baharu untuk berjaya dalam dunia yang cepat berubah dan kompetitif.
Katanya, usahawan perlu dinamik dan proaktif serta sentiasa melihat melangkaui sempadan dan pasaran tempatan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lima peserta muda Anugerah Shell LiveWIRE 2021 yang berjaya mengutarakan idea perniagaan untuk memenangi wang tunai RM10,000 bagi memgembangkan perniagaan mereka.
-Deasoka