
Kota Kinabalu: Sebanyak 97 Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sudah dilaksanakan di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah berkata, daripada jumlah penganjuran PJKM itu, seramai 288,132 pengunjung membabitkan hasil jualan RM2.718 juta berjaya direkodkan.
Katanya, setakat ini sambutan pengguna dan peniaga di Sabah amat menggalakkan dan meminta supaya PJKM ini dilaksanakan secara berkala.

“Ramai yang mengakui harga barang-barang yang dijual di PJKM dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini.
“Itu adalah antara tujuan PJKM bagi memastikan lebih ramai rakyat turut sama menikmati barang-barang yang ditawarkan pada harga lebih murah daripada harga pasaran setempat,” katanya.
KPDNHEP Sabah berkata, pihak sudah menggerakkan cawangan-cawangan KPDNHEP di seluruh negeri ini untuk bekerjasama dengan agensi-agensi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta rakan strategik sektor peruncitan di Sabah.
Katanya, hari ini, sebanyak 18 PJKM diadakan secara serentak meliouti kawasan Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Kimanis, Keningau, Tenom dan Pensiangan.
“Selain itu, ia turut diadakan di Lahad Datu, Kalabakan, Beluran, Libaran, Batu Sapi, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Sipitang dan Semporna.
“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih.
“KPDNHEP menggalakkan rakyat negeri Sabah untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan melalui PJKM di lokasi yang berdekatan dengan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga supaya sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan negara.
“Seramai 280 orang Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sabah akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan ke talian WhatsApp di 019-279 4317, aplikasi ez-Adu, email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Pejabat-pejabat Cawangan KPDNHEP yang berdekatan,” tegasnya.
-Deasoka