
Kudat: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta kepada 120 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Landung Ayang, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan itu membabitkan RM20,000 untuk setiap satu KIR untuk mereka membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran di kampung berkenaan.

“Hari ini, saya datang untuk melawat mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang di Kudat ini dan untuk makluman, saya ingin merakamkan rasa prihatin kerajaan kepada semua mangsa yang terlibat.
“Sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan akan membantu mereka yang menjadi mangsa kebakaran dengan membekalkan bahan-bahan binaan berharga RM20,000 kepada setiap satu keluarga atau satu rumah mangsa kebakaran.
“Sebanyak 120 rumah yang terlibat dan kerajaan menyediakan RM2.4 juta untuk membantu mereka. Kita harap dengan bekalan bahan binaan ini mereka boleh membina rumah baharu dengan secepat mungkin supaya mereka boleh berpindah semula ke tempat mereka,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga turut memberi bantuan kepada setiap KIR sebanyak RM500 untuk meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Kita juga akan bantu mereka membina jambatan untuk menghubungkan dari satu rumah ke rumah yang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua mangsa akan ditempatkan ke tapak yang sama namun akan diselaras supaya perkampungan itu lebih tersusun.
“Mereka akan ditempatkan ke tapak yang sama, tetapi kita minta Pegawai Daerah Kudat untuk menyelaras atau menyusun perkampungan ini dengan lebih baik ada penjarakan dan sebagainya.
“Mudah-mudahan mereka yang terlibat ini dapat bersabar sementara menunggu rumah mereka dibina semula dan dilaksanakan secara gotong royong dan sekali gus bagi membolehkan mereka berpindah dengan segera,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan keprihatinan pihak persendirian atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu mangsa kebakaran terbabit.
“Kita menghargai kepada mereka yang bermurah hati menderma mangsa-mangsa ini dan kita harap ada pihak lain termasuk NGO atau persatuan yang prihatin dan mempunyai kemampuan untuk membantu mereka ini,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, lebih 100 rumah musnah terbakar menyebabkan lebih 700 penduduk di kampung berkenaan tinggal sehelai sepinggang sebelum ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Tun Mustapha, di sini.
-Deasoka