Kundasang: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan Program Agri-Perantis Hidroponik (Pro-App) melibatkan generasi kedua komuniti penerokanya.
Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari berkata, Pro-App adalah satu usaha untuk mengangkat komuniti sejajar agenda utama dalam konsep pembangunan luar bandar yang diterajui SLDB.
Katanya, Pro-App dilaksanakan bersama rakan strategik SLDB iaitu Kundasang AquaFarm (KAF) untuk memberikan latihan pertanian jangka panjang agar peserta boleh mengusahakan pertanian menggunakan kaedah itu sebagai mata pencarian.
“Program ini juga memberi peluang kepada peserta dan peneroka untuk merasai pengalaman bertani secara moden, di samping memberi pendedahan dan kemahiran asas usahawan pertanian,” katanya pada Majlis PPelancaran Pro-App Komuniti SLDB di Kampung Mesilou, di sini, semalam.
Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Yassin merasmikan program itu.
Syaheddrul berkata, program itu juga bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peserta dan peneroka yang terjejas disebabkan program penanaman semula, selain untuk menempuh cabaran ekonomi selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, Kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyalurkan dana sebanyak RM1 juta kepada SLDB bagi melaksanakan Program Agri-Perantis Hidroponik, tahun ini.
“Seramai 30 orang telah dipilih menyertai projek perantis ini dan mereka kini sedang menjalani kursus dan praktikal selama sebulan bermula 13 Jun 2022 di Pusat Latihan Kundasang AquaFarm.
“Program Latihan Penanaman Hidroponik ini akan dijadikan sebagai platform untuk memilih pelatih program yang layak untuk diberikan dana untuk melaksanakan program Tanaman Hidroponik di lokaliti masing-masing.
“Sepanjang pelaksanaan program, pihak SLDB dan KAF akan memberikan khidmat nasihat, pemantauan dan jaminan beli balik produk,” katanya.
Beliau berkata, daripada 30 peserta yang dipilih, empat daripadanya dari kawasan Nabawan, Sinua (8 peserta), Tuawon (6), Sumatalun (2), Kabintaluan (2) Bombong (3) dan Bingkor (5).
Syaheddrul berkata, selepas latihan selama sebulan, 25 pelatih terbaik akan diberi geran untuk melaksanakan program ini, termasuk satu set lengkap peralatan dan perkakasan tanaman hidroponik.
Katanya, SLDB sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosio korporat terhadap masyarakat terutama peneroka dan peserta SLDB itu sendiri.
Menurut beliau, SLDB akan terus mengekalkan prestasi cemerlang dari semasa ke semasa demi untuk mensejahterakan komuniti luar bandar terutama di kalangan peneroka dan peserta SLDB.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kundasang Aquafarm, Azizul Julirin.
-Deasoka