Remaja tiru aksi Superman ketika lumba haram didenda RM1,500

Tawau: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang remaja lelaki selepas mengaku salah terbabit dalam aktiviti lumba haram motosikal, dua tahun lalu.

Tertuduh berumur 19 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan Balung pada jam 9 malam, 29 Ogos 2020.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama sekumpulan tiga motosikal dipercayai beradu kelajuan bermula dari arah lampu isyarat Balung hingga ke simpang ladang Borneo Samudera.

Tertuduh juga dilihat menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ iaitu bertiarap di atas tempat duduk motosikal yang ditunggangnya.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000.

Pegawai pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam dan pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.

Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau jika gagal dipenjara selama enam minggu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|