PRU15: Srikandi BERSATU Sabah sasar bertanding kerusi Parlimen Lahad Datu

PRU15: Srikandi BERSATU Sabah sasar bertanding kerusi Parlimen Lahad Datu

Kota Kinabalu: Parlimen Lahad Datu antara empat kerusi yang disasarkan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah untuk diletakkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, Srikandi BERSATU Sabah sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat kawasan untuk dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti.

“Kita mesti ada calon dari Srikandi. Kita kata empat (kerusi), mungkin lima kita boleh dapat. Dari sebelah pantai timur ada, sebelah Lahad Datu ada.

“Calon-calon itu adalah di kalangan mereka yang telah kita kenal pasti dan kita akan kemukakan kepada pucuk pimpinan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi BERSATU Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Parlimen Lahad Datu kini disandang Datuk Mohamaddin Ketapi yang keluar daripada Parti Warisan (WARISAN ) sebelum menyertai BERSATU pada November tahun lalu.

Sementara itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort mahu memastikan persiapan menjelang PRU-15 berjalan dengan lancar di setiap bahagian.

“Semua bahagian melaporkan bahawa persiapan mereka berjalan dengan baik sekali dan terus kita tambah baik lagi dan kita bersiap sedia untuk menghadapi bila-bila saja PRU akan diadakan.

“Bagaimanapun, tidak semestinya kita berpuas hati setiap persiapan itu, mungkin ada lagi perlu dipertingkatkan dan kerja dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|