Program Homeward berjaya capai sasaran

Program Homeward berjaya capai sasaran

Keningau: Program Homeward yang dilaksanakan kerajaan bagi merakyatkan perkhidmatan di negeri ini telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pelaksanaan program itu melibatkan banyak agensi dan jabatan berkaitan dalam memastikan golongan sasar terus disantuni.

Shahelmey meninjau penggunaan katil boleh laras yang digunakan oleh pesakit terlantar dalam lawatannya ke Keningau.

“Pada awal pelancaran Program Homeward ini, kita hanya mensasarkan sebanyak 100 penerima, tetapi sejak ia dilaksanakan kita telah mendapat kitaran sebanyak 242 peratus.

“Saya berharap dengan adanya Program Homeward ini akan benar-benar dapat membantu merakyatkan perkhidmatan bagi tujuan kesejahteraan rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan,” katanya.

Shahelmey berkata demikian selepas meninjau perkampungan Kampung Kota Ayangan, Kampung Tohan Baru dan Kampung Antolob, di sini, hari ini.

Katanya lagi, tinjauan itu bertujuan bagi memastikan mekanisme penyampaian program berjalan lancar.

“Tinjauan ini bertujuan untuk melawat dan melihat sendiri keadaan penerima-penerima katil boleh laras ini.

“Saya juga sempat berbual dengan mereka untuk meninjau mekanisme pemberian program ini untuk tujuan penambahbaikkan.

“Kita berharap bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi badan bukan kerajaan (NGO) yang berkemampuan untuk turut sama-sama menyumbang menjayakan program seperti ini,” katanya.

Untuk rekod, program Homeward adalah program berimpak tinggi kementerian berkenaan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dengan sumbangan daripada Yayasan Petronas yang tersenarai dalam flagship Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Program ini berkonsepkan pinjaman alat keperluan asas rumah sakit kepada orang terlantar sakit, warga tua dan orang kurang upaya (OKU) daripada golongan B40.

Selain katil boleh laras, terdapat juga keperluan seperti kerusi roda, ‘oxygen concentrato’r dan lain-lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|