
Pasir Gudang (Johor): Calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, hari ini melakukan pecutan akhir kempen untuk menarik sokongan pengundi.
Barisan Nasional (BN) antara yang giat melakukan kempen akhir menerusi jentera dari pelbagai negeri termasuk dari Sabah yang diketuai Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Semua calon dan parti politik mempunyai masa hingga tengah malam ini untuk berkempen sebelum proses pengundian biasa bermula pagi esok.
Bagi kempen BN yang diketuai jentera dari Sabah bersama Bung Moktar hari ini sempat menemui pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Senibong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permai, di sini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta penduduk agar keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih untuk memilih kerajaan Johor yang stabil dan meneruskan agenda pembangunan untuk kemajuan Johor.
“Keluarlah mengundi seawal pagi kerana kita bimbang sebelah petang diramalkan hujan dan ribut petir selain mendung beberapa daerah di Johor. Jentera BN siap sedia membantu pergerakan ke pusat mengundi,” katanya.

Mengenai peluang BN pada PRN Johor kali ini, Bung Moktar optimis ia akan mencapai kemenangan berdasarkan sambutan rakyat kepada BN yang meningkat sepanjang tempoh kempen.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon bertanding di 56 kerusi DUN membabitkan 11 parti politik termasuk bebas.
Parti Warisan (WARISAN), parti diasaskan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut bertanding di enam kerusi DUN, cubaan pertamanya selepas mengembangkan sayap ke Semenanjung sejak akhir tahun lalu.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada PRN Johor.
-Deasoka