
Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah perkara biasa bagi parti yang baharu bertapak di sesuatu tempat.
Beliau bagaimanapun berkata, ada ramai penyokong WARISAN walaupun tidak sampai sebulan mereka melancarkan parti itu di Johor dan di peringkat nasional pada Disember lalu.

“Saya tahu bukan keputusan yang baik, di peringkat ini untuk lihat percubaan peringkat awal dan kita kena persiapkan diri kita terlebih dahulu.
“Saya kena tahu struktur sekurang-kurangnya kita punya ahli-ahli penggerak di peringkat negeri Johor dan kita akan teliti, kita katakan penolakan 100 peratus tidak benar, ini kekalahan biasa seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, PAS dan Amanah, tiada kerusi menang di Sabah,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Diminta mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut tidak menafikan punca kekalahan WARISAN disebabkan sentimen kenegerian sepanjang PRN berlangsung.
“Tiada pertikaian mengenai kepimpinan tetapi berkaitan parti di mana banyak yang dimainkan parti-parti lain termasuk DAP, Barisan Nasional (BN) tak perlu ada parti dari WARISAN berada di Semenanjung.
“Bukan bererti bahawa WARISAN ini parti dari Sabah, memang kepimpinan dari Sabah, secara kebetulannya, tetapi ada juga kepimpinan hari ini dari Semenanjung,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan WARISAN mahu penyatuan dari keseluruhan dan tujuannya adalah supaya tidak ada perpecahan termasuk gelombang perkauman.
Pada PRN Johor Sabtu lalu, WARISAN meletakkan enam calon daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, namun keenam-enam kerusi yang ditandingi parti itu tewas.
-Deasoka