PPM usir 11 warga Filipina ceroboh perairan negara

PPM usir 11 warga Filipina ceroboh perairan negara

Sandakan: Cubaan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke perairan negara ini gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menghampiri Pulau Berhala, di sini, semalam.

Suspek yang dipercayai dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan negara dalam rondaan yang dijalankan di kawasan tanggungjawab PPM Sandakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, bot yang dinaiki warga asing terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi.

Katanya, pasukan PPM kemudian mengekori dan berjaya memintas sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki sembilan lelaki dan dua wanita yang mengaku berasal dari Filipina dan cuba memasuki perairan daerah ini secara salah.

“Bot berkenaan kemudiannya di usir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, PPM sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Sandakan bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.

Katanya, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|