PPM rampas rokok seludup, bot bernilai RM513,539

PPM rampas rokok seludup, bot bernilai RM513,539

Tawau: Cubaan dua lelaki warga asing menyeludup masuk 1,770 pek rokok gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Laut Ice Box, di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, semua rokok tanpa cukai itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di sekitar daerah ini.

Anggota PPM Tawau menahan dua warga asing yang cuba nenyeludup rokok dari negara jiran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, operasi Op Gelora berkenaan dilancarkan selepas pihaknya menerima maklumat daripada PUSOP Operasi Cegah Pati (OCP) Selatan ESSCOM.

Katanya, hasil pemantauan radar, pihaknya berjaya mengesan dan seterusnya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dari arah laut Pulau Sebatik menuju ke Laut Ice Box.

“Sebaik berjaya dipintas, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki dua lelaki warga asing berusia 37 dan 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 1,650 pek rokok jenama Premium dan 120 pek rokok jenama LA yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Indonesia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Ridzauddin berkata, kedua-dua suspek dan rokok yang dirampas kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, nilai rampasan dalam operasi berkenaan adalah sebanyak RM513,539 termasuk bot laju dan enjin berkapasiti 200 kuasa kuda.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Tawau akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang sepanjang masa.

Katanya, pihaknya juga menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|