Semporna: Cubaan seorang lelaki menyeludup lima jenis barang kawalan tidak kesampaian apabila berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di sekitar Laut Singamata, di sini, hari ini.
Dalam operasi jam 1.30 pagi itu, semua barang kawalan berkenaan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran Filipina.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus cuba menahan bot untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun katanya, suspek yang menyedari kehadiran pihak polis terus bertindak melarikan diri ke kawasan bakau, Kampung Tobo-Tobo, di sini.
“Usaha mencari suspek terus dilakukan namun gagal dikesan berikutan keadaan kawasan yang berbakau dan gelap.
“Hasil pemeriksaan menemukan lima jeriken berisi minyak petrol, 51 kilogram minyak masak, 12 kilogram gula,12 paket tepung gandum dan 60 kilogram ayam sejuk beku,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohamad berkata, semua barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai RM 31,685.75 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Jabatan Veterinar,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.
-Deasoka