Polis selesai empat kes curi motosikal di Tuaran

Polis selesai empat kes curi motosikal di Tuaran

Tuaran: Polis Tuaran berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal termasuk yang terbaru dilaporkan dalam kejadian di Kampung Tutu, Selupuh, di sini, kelmarin.

Seorang lelaki berusia 33 tahun berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kota, Jalan Bolong Kota, di sini, kira-kira jam 1 petang semalam.

Motosikal yang dirampas dipercayai hasil kegiatan jenayah curi sekitar Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan dibuat susulan daripada laporan polis dibuat oleh seorang mangsa bahawa motosikalnya dilarikan individu tidak dikenali dalam kejadian dirumahnya.

“Mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah malam selepas terdengar bunyi besi sebelum mendapati kelibat seorang lelaki bertindak membawa lari motosikalnya.

Suspek ditahan bersama motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Tuaran.

“Mangsa yang melihat kejadian itu melalui tingkap rumahnya bertindak cuba mengejar suspek namun tidak berjaya selain gagal mengecam suspek kerana keadaan yang gelap ketika itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, bertindak atas maklumat Ops Kesan yang dijalankan berjaya mengesan suspek sebelum serbuan dibuat di sebuah rumah.

“Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat empat motosikal di lokasi dan pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran salah sebuah motosikal adalah milik pengadu yang hilang dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

“Suspek kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di daerah ini dan motosikal berkenaan turut dirampas,” katanya.

Mohd Hamizi turut berkata, modus operandi suspek mencuri curi motosikal di sekitar daerah ini dan menyimpannya di lokasi tertentu sebelum dileraikan untuk dijual kepada pembeli baru.

“Setakat ini, suspek mengaku bahawa dia hanya mengetahui motosikal yang disimpan dirumahnya adalah kenderaan curi dan suspek bersama seorang lagi rakan sejenayahnya yang masih bebas akan keluar membuat pemerhatian pada waktu malam dengan menaiki motosikal sebelum melakukan kegiatan itu di daerah ini.

“Dengan tertangkapnya suspek, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di daerah ini,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Hamizi memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|