PICKids percuma diberikan semula pada 20-24 Jun ini

PICKids percuma diberikan semula pada 20-24 Jun ini

Semporna: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan semula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara percuma selama bermula 20 hingga 24 Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata semua klinik kesihatan di seluruh negara akan dibuka semula untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak yang terlepas suntikan vakisn Covid-19 melalui PICkids sebelum ini.

Noor Azmi merasmikan sambutan Minggu Imunisasi Kebangsaan di Semporna.

Katanya, KKM mengambil inisitif itu bagi memberikan peluang sekali lagi kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka menerima suntikan vaksin secara percuma.

“KKM membuka peluang itu selama lima hari untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang baru membuat keputusan supaya melakukannya dengan segera.

“Kita tahu ada ibu bapa yang sebelum ini mengambil keputusan ‘tunggu dan lihat’, jadi inilah peluang supaya mereka melakukannya dalam tempoh lima hari itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin.

Katanya, ibu bapa tidak perlu ragu lagi kerana PICkids adalah selamat untuk kanak-kanak dan banyak kejayaan penurunan kes disebabkan pengambilan vaksinasi.

Noor Azmi berkata KKM mempunyai cukup vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac untuk diberikan kepada kanak-kanak di seluruh negara.

“Setakat ini hanya 1.7 juta daripada hampir empat juta kanak-kanak sudah menerima vaksin dan masih ramai lagi ibu bapa yang belum membawa anak mereka mendapatkan vaksin.

“Justeru, ibu bapa disaran untuk membawa anak mereka menerima vaksin secara percuma tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia adalah antara negara yang terbaik dalam menjalankan vaksinasi dan kesiapsiagaan hospital menerima pesakit Covid-19.

“Sehingga kini, pencapaian vaksinasi negara untuk golongan dewasa menghampiri 99 peratus, remaja 98 peratus dan dos pertama kanak-kanak 58 peratus.

“Kes jangkitan kemasukan ke hospital, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat Covid-19 juga semakin berkurangan,” katanya.

KKM pada 31 Mei lalu menamatkan pemberian vaksin dos pertama secara.m percuma melalui PICKids.

Berikutan itu, kanak-kanak yang mahu disuntik selepas itu perlu mendapatkannya secara berbayar di klinik swasta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|