
Putatan: Jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di negeri ini masih berada di tahap yang rendah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini hanya seramai 51,000 kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan menerima vaksin sejak PICKids dilaksanakan.

“Sabah berada di tangga kedua dari bawah, jadi kita perlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Daerah dan paling penting ibu bapa kerana mereka ini yang memainkan peranan utama untuk merealisasikan kejayaan memberi vaksin kepada anak-anak.
“Berdasarkan pencapaian jumlah kanak-kanak yang divaksin setakat ini adalah seramai 51,000 di bawah PICKids di seluruh Sabah, masih ada ruang untuk kita menambah pemberian vaksin kepada kanak-kanak,” katanya kepada media selepas meninjau PICKids di Sekolah Kebangsaan (SK) Contoh, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Shahelmey menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur terbabit menerima vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka pada hujung bulan ini.
“Kita menyasarkan 50 peratus daripada jumlah populasi kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 11 tahun menerima vaksin sehingga menjelang sesi persekolahan nanti.
“Jadi saya ingin berpesan kepada ibu bapa di luar sana untuk tampil ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan kerajaan untuk memberikan vaksin kepada anak-anak demi menjaga kesihatan mereka apabila penggal sekolah yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat turut memaklumkan, bagi kawasan Putatan seramai 1,522 kanak-kanak sudah menerima vaksin di bawah PICKids.
“Terdapat sebanyak lapan sekolah di Putatan dan lima daripadanya digunakan sebagai PPV bagi PICKids yang sudah bermula sejak 28 Februari lalu.
“Dianggarkan seramai 7,642 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun layak untuk menerima vaksin dan setakat semalam, kita berjaya memberi vaksin kepada seramai 1,522 kanak-kanak di daerah ini,” katanya.
-Deasoka