PGA Sabah rampas pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM521,017

PGA Sabah rampas pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM521,017

Sandakan: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM521,017 yang cuba diseludup dalam operasi di Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, di sini, semalam.

Operasi yang diketuai Pegawai Pemerintah BN 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mutafa itu dijalankan pada jam 12.30 tengah hari berdasarkan maklumat risikan.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, setibanya pasukan operasi di lokasi mendapati sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan petrol ke sebuah kapal besi berdekatan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki terbabit terus cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Kenderaan yang dirampas dalam operasi di Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, Sandakan. Pix Ihsan PGA Sabah

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan berkenaan sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak petrol ke kapal laut.

“Semua minyak berkenaan dipindahkan daripada beberapa tong berkapasiti 200 liter yang berada di atas dua lori sambil diperhatikan oleh tonto-tonto di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rampasan barangan bersubsidi yang dirampas. Pix Ihsan PGA Sabah

Abdul Rani berkata, pemeriksaan lanjut di atas kapal pula menemukan sebanyak 44 tong gas, 95 kotak minyak masak dan beberapa hos yang disalurkan ke dalam tangki kapal.

Katanya, pemeriksaan dokumentasi juga dilakukan dan mendapati semua lori yang digunakan membawa minyak petrol tidak mempunyai kebenaran untuk mengangkut bahan api.

Kapal yang turut disita dalam operasi berkenaan. Pix Ihsan PGA Sabah

“Manakala lesen bagi kapal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah tamat tempoh hampir setahun yang lalu.

“Individu yang terlibat terus ditangkap dan dibawa bersama rampasan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Enam suspek turut ditahan dalam operasi berkenaan. Pix Ihsan PGA Sabah

Abdul Rani berkata, semua individu yang ditahan adalah membabitkan seorang warga asing dan lima rakyat tempatan berusia 24 hingga 42 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disiasat bersama Peraturan 3 (1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|