Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, denda RM50,000

Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, denda RM50,000

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menetapkan penjara 15 bulan lagi jika Peter gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan yang dihadapi Peter.

Bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) itu yang kini mengetuai parti baharu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), sebelum ini diarah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Peter didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.

Beliau selaku Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|