
Kota Kinabalu: Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap kehadiran ejen pelancongan tidak berdaftar yang mengambil kesempatan terhadap pertumbuhan pesat sektor pelancongan di daerah Semporna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah, berkata ia antara isu yang menghantui industri pelancongan di daerah itu yang dibimbangi menjejaskan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan terkenal.
Beliau mendakwa, ejen pelancongan tidak berdaftar bukan saja menjejaskan ejen pelancongan yang beroperasi secara sah, malah menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan.
“Mereka didapati memanipulasi harga pakej pelancongan menyebabkan pengusaha pelancongan mengalami kerugian.
“Isu ini perlu diberikan perhatian serius kerana ianya bukan sahaja menjejaskan pendapatan rakyat disini, malah turut melibatkan isu keselamatan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Jamil baru mengangkat sumpah sebagai ADUN Bugaya yang baharu pada Jumaat lalu selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Sementara itu, Jamil berkata isu kedua yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan pelancongan di Semporna ialah berkaitan infrastruktur
“Jeti pelancongan yang lebih sistematik perlu dibina kerana jeti sedia ada tidak teratur, malah ada di kalangan mereka yang tidak berlesen juga menggunakan jeti pelancongan,” katanya.
Selain itu, katanya soal kebersihan dan pencemaran juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pelancongan di Semporna tidak terjejas disebabkan masalah sampah.
“Pada Ogos yang lalu, YB Karanaan (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun) melancarkan projek perkhidmatan pemungutan sampah di perairan pekan Semporna.
“Saya mohon diberikan perincian mengenai perancangan kerajaan negeri menyelesaikan isu sampah ini serta sasaran yang ditetapkan. Adakah kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih dan Indah masih diteruskan?,” katanya.
Jelasnya, keindahan alam semulajadi yang dimiliki Semporna sukar ditandingi tempat lain di Malaysia malah setanding dengan Maldives, Mauritius, Hawaii dan sebagainya.
Namun, katanya jika tidak diuruskan dengan baik dan profesional maka hasrat menjadikan daerah Semporna sebagai hub pelancongan dunia akan terjejas.
-Deasoka