
Penampang: Skuad Bawah 19 (B19) Sabah melakukan permulaan yang baik bermain di tempat sendiri apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City FC dalam saingan Piala Belia di Stadium Penampang, semalam.
Gol tunggal kemenangan pasukan B19 Sabah itu dijaringkan Mohd Ekhwandy pada minit ke-63 menerusi tendangan padu di depan pintu gol Kuching FC yang gagal diselamatkan penjaga golnya.

Selepas jaringan itu, Sabah gagal mencipta peluang yang benar-benar mengancam kubu lawan, namun keputusan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat sekali gus memberi kemenangan kepada Sabah.
Meskipun Kuching City FC cuba membuat asakan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun serangan mereka dapat dikawal dengan baik oleh pertahanan pasukan B19 Sabah.

Pengurus pasukan B19 Sabah, Jamawi Jaafar menyifatkan aksi berkenaan sebagai permulaan yang baik dan memang sangat diperlukan setelah pelawanan pertama B19 Sabah terpaksa berkongsi satu mata apabila seri 0-0 bertemu pasukan Polis FC di padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Selangor, minggu lalu.
“Saya percaya kemenangan ini bakal menjadi pembakar semangat untuk semua pemain B19 Sabah agar lebih dahagakan kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya.
Jamawi mengakui memang masih banyak ruang yang perlu diperbaiki tetapi beliau yakin prestasi pasukan B19 Sabah akan terus bertambah baik dengan bimbingan barisan jurulatih yang diketuai Johnny Dominicus.
Skuad B19 Sabah akan meneruskan cabaran menentang PJ City di Stadium MPJJ Selangor pada 18 Mac ini.
-Deasoka