Perlu kerjasama semua pihak kurangkan kesan banjir

Kota Kinabalu: Semua agensi kerajaan, korporat dan masyarakat setempat perlu bekerjasama bagi mengurangkan kesan banjir yang melanda di kawasan pedalaman bawah negeri ini.

Ini termasuk mengkaji semula keadaan geografi di kawasan yang sering berlaku banjir dan membuat satu pelan tindakan jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir kepada penduduk setempat.

Alex meninjau keadaan paras air Sungai Padas di Beaufort.

Setiausaha Kerja Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah, Alex Dennis berkata, banjir di sekitar pedalaman bawah negeri ini kerap dan sering terjadi pada setiap tahun sehingga menyebabkan penduduk terbiasa dengan keadaan itu.

“Kejadian banjir di pedalaman bawah sejak tahun 1903 sebelum jajahan British. Kejadian banjir sering berlaku di Beaufort, kerana daerah ini mempunyai Sungai Padas yang merupakan sungai ketiga panjang di Malaysia yang mempunyai jarak 200 kilometer dan selain turut terletak di kawasan Tenom dan ulunya dari kawasan Long Pa Sia, Sipitang.

Alex ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir di Beaufort.

“Sungai Padas menghilir melalui Kampung Limbawang, Gadong, Suasa, Jabang, Bangkalalak dan Berumbai dan Kuala sungai Padas ialah di Kuala Palas, Seberang Weston,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak bertahun lamanya Beaufort terkenal dengan daerah yang sering dilanda banjir antara dua hingga tiga kali setahun termasuk yang terbaru Isnin lalu.

“Ini menjadi tradisi bagi penduduk daerah ini dan walaupun ia menjadi satu kebiasan namun setiap kali banjir ia akan mengakibatkan kerugian yang besar kepada penduduk sekitarnya.

“Sejak kerajaan membuat kerja-kerja perancangan mencegah banjir di Pekan Beaufort dengan membuat benteng pertahanan tebing sungai dan memperbaiki sistem perparitan maka banjir jarang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak memadai dan pihaknya turut menggerakkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas di kawasan berkenaan.

“MRA telah menggerakkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas banjir sejak 2014 dan juga telah buka satu Sekretariat MRA Sabah di Daerah Beaufort.

“Antara bantuan yang biasa digerakkan seperti bantuan bakul makanan, kit kebersihan, bekalan air bersih, perubatan dan pembersihan pasca banjir.

“Dalam masa yang sama, MRA juga menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Daerah dalam Pengurusan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka setiap kali berlakunya bencana banjir,” katanya.

Sehubungan itu, Alex berkata, bagi mengurangkan kesan penduduk yang terjejas akibat banjir perlunya ada kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Contohnya, mengkaji semula keadaan geografi dikawasan yang sering berlaku banjir dan perlu membuat satu pelan tindakan jangka masa panjang seperti penyediaan penempatan tetap yang kurang berisiko dengan bencana banjir yang selama ini memberi kesan besar kepada sektor ekonomi dan sosial masyarakat setempat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|