
Kota Kinabalu: Sebanyak 134 transaksi berjaya diurus menerusi perkhidmatan ‘Drive In’ yang disediakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bermula hari ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, perkhidmatan ‘Drive In’ setakat ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Perkhidmatan ‘Drive In’ DBKK telah bermula sejak jam 8 pagi hingga 2 petang hari ini.
“Setakat hari ini, perkhidmatan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan 134 transaksi telah diuruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, lima lot parkir khas disediakan untuk perkhidmatan itu.
“Transaksi yang diurus melibatkan pembayaran cukai kadaran, kompaun, pembaharuan lesen perniagaan dan lain-lain,” katanya.
Noorliza dalam pada itu berterima kasih kepada warga Kota Kinabalu atas sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan DBKK.
“Diharap warga Kota Kinabalu terus
menyokong usaha-usaha DBKK dalam menambah baik perkhidmatan kami.
“Sekali lagi DBKK mengalu-alukan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan ‘Drive In’ DBKK yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum bertempat di kawasan tempat letak kereta hadapan bangunan Ibu Pejabat DBKK, ” katanya.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembelian kupon letak kereta, borang dan pembayaran am.
-Deasoka