Keningau: Seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, maut selepas bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Bingkor Bypass, berhampiran Kampung Sasaie Bingkor, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal seorang diri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bergerak dari arah Kampung Singgah Mata menuju ke Pekan Keningau.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang lalu memasuki laluan kenderaan Perodua Viva dan bertembung.
“Ketika kejadian mangsa menunggang secara bersendirian dan tidak memakai topi keledar. Akibat kemalangan berkenaan mangsa tercampak manakala Perodua Viva terbabas ke bahagian kiri jalan.
“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Keningau, manakala pemandu lelaki berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Nor Rafidah berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal sendiri.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Saya ingin menasihati orang awam supaya sentiasa mematuhi undang- undang jalan raya bagi mengelakkan kemalangan maut berlaku,” katanya.
-Deasoka