
Sook: Penubuhan Persatuan Perpaduan Rumpun Etnik Sabah (PANDARAS), disifatkan selari dengan pendekatan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperjuangkan hak rakyat di negeri ini.
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Angin berkata, perjuangan PANDARAS dilihat konsisten dengan perjuangan GRS yang ingin mengembalikan hak-hak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Mengutamakan kebajikan serta hak orang asal Sabah merupakan antara misi utama penubuhan PANDARAS.
“Saya melihat perjuangan PANDARAS ini seiring dengan visi kerajaan Sabah sekarang dan saya amat menyokong penuh perjuangan persatuan ini,” katanya pada majlis perasmian PANDARAS Sook di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Rakyat STAR DUN Sook, Kampung Biah Tengah, di sini, semalam.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook turut menyeru rakyat di kawasannya supaya tidak terpengaruh dengan anasir luar yang berniat untuk memecahbelahkan ikatan perpaduan pelbagai etnik orang asal di negeri ini.
Sementara itu, Presiden PANDARAS, Kalawon Jenuin Bungkak, dalam ucapannya berkata, PANDARAS berperanan memartabatkan hak-hak orang Sabah dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan, pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong perjuangan pertubuhan itu.
“PANDARAS merupakan platform penting dalam melestarikan budaya dan warisan Orang Asal Sabah selain bertindak sebagai agen kesedaran kepada masyarakat Sabah terutama golongan muda,” katanya.
Difahamkan PANDARAS yang ditubuhkan pada 26 Ogos 2020 kini sudah mempunyai keahlian seramai 8,000 orang di seluruh Sabah.
-Deasoka