Penerima vaksin kanak-kanak, dos penggalak masih rendah

Penerima vaksin kanak-kanak, dos penggalak masih rendah

Putatan: Jumlah penerima dos penggalak vaksin Covid-19 bagi individu dewasa dan vaksin Covid-19 kanak-kanak di daerah ini masih pada tahap yang rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini program pemberian vaksin Covid-19 kanak-kanak di daerah ini baru mencapai 23.5 peratus manakala 25 peratus bagi dos penggalak individu dewasa.

Shahelmey meninjau pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan dos penggalak pada Program Outreach Daerah Putatan di Dewan Kampung Muhibbah.

“Program di pusat pemberian vaksin (PPV) Outreach di Putatan menumpukan dos penggalak dan kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

“Setakat ini, jumlah pemberian vaksin masih agak rendah berbanding sasaran kita iaitu 50 peratus pemberian vaksin menjelang pembukaan sekolah pada 21 Mac ini,” katanya pada Program Outreach Daerah Putatan di Dewan Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu menyeru ibu bapa yang belum mendapatkan vaksin untuk kanak-kanak serta individu yang layak menerima dos penggalak supaya mendapatkan vaksin berkenaan.

“Saya menyeru ibu bapa datang ke PPV atau fasiliti kesihatan berdekatan untuk mendapatkan vaksin masing-masing.

“Ini memandangkan jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak agak meningkat jadi menjelang persekolahan ini dapat membantu mengawal penularan jangkitan kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, fasa peralihan ke endemik bermula 1 April depan akan menyebabkan banyak kelonggaran aktiviti ekonomi dan pergerakan dibenarkan.

“Apabila itu terjadi, risiko jangkitan akan meningkat dan penting untuk memastikan sistem pertahanan kita dalam keadaan baik membantu agar tidak dijangkiti atau sekiranya dijangkiti dalam keadaan yang minor,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|