
Kota Kinabalu: Permohonan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk proses kelulusan.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, proses itu diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Kita sudah hantar permohonan kepada RoS dua minggu lalu. Masih tunggulah.
“Mereka minta beberapa butiran lanjut tetapi kami belum diberikan lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pemberian Vaksin Covid-19 bagi dos penggalak dan kanak-kanak di lobi Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan usaha mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi di negeri ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memaklumkan senarai barisan hadapan kepimpinan GRS akan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas gabungan itu berjaya didaftarkan.
-Deasoka