Penampang: Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Papar Lama, berhampiran Kampung Dambai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun yang membonceng motosikal ditunggang rakannya itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Katanya, penunggang motosikal yang berusia 18 tahun itu bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan.
“Manakala mangsa yang membonceng motosikal berkenaan pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke HQEI untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Deasoka