Pembangkang perlu bersatu, ketepikan ego

Pembangkang perlu bersatu, ketepikan ego

Telupid: Pemimpin parti-parti pembangkang harus mempunyai kesatuan dan persefahaman yang kukuh bagi mewujudkan satu gabungan yang mantap untuk mengalahkan pihak lawan.

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, setiap pemimpin juga harus mengetepikan ego masing-masing dalam usaha menyelamatkan dan meletakkan negara di landasan yang betul.

Katanya, rakyat sebenarnya sedar dan tahu bahawa hanya dengan kerjasama dan kesatuan blok pembangkang yang mampu mematahkan pemimpin kluster mahkamah.

“Ada antara mereka yang sudah pun didapati bersalah dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.

“Sebab itu para pemimpin parti-parti pembangkang harus ada kesatuan yang utuh kerana inilah yang dikehendaki oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Peringkat Cawangan bagi Zon Wonod, di sini.

Felix berkata, berdasarkan statistik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka baharu-baharu ini, sekiranya ada kesatuan parti-parti politik berdepan UMNO BN, mereka sememangnya boleh ditewaskan.

Katanya, pihak pembangkang harus bergerak bersama, berjuang dengan matlamat yang sama dan dengan misi yang satu.

“Perpecahan akan merugikan semua pihak dan boleh mengakibatkan masa depan negara yang gelap. Hanya di Malaysia saja di mana pemimpin yang sudah didapati bersalah masih bebas malah diberikan banyak keistimewaan.

“Inilah antara sebab kenapa syarikat-syarikat gergasi hilang keyakinan dan meningggalkan negara kita,” katanya.

Felix berkata, kestabilan politik dalam sebuah kerajaan amat penting bagi menarik lebih ramai pelabur, melancarkan projek-projek pembangunan dan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran turut mengingatkan ahli parti supaya terus setia, cekal, fokus dan komited kepada perjuangan parti.

Katanya, semua pemimpin UPKO diperingkat akar umbi juga perlu meneruskan pelayanan dan menabur bakti kepada masyarakat.

“Sebagai blok pembangkang, UPKO mempunyai peranan yang sangat penting sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan hari ini. UPKO komited dan fokus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|