Pemancing nyaris lemas

Pemancing nyaris lemas

Lahad Datu: Seorang pemancing nyaris lemas selepas terjatuh ke laut ketika memancing di perairan Desa Kencana, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang dibantu rakannya bagaimanapun gagal naik semula ke atas bot selepas bot mereka berpusing-pusing akibat tanpa pengemudi.

Bot yang dinaiki dua pemancing terbabit.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu, Leftenan (PA) Asby Mohd Anwar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang.

Katanya, kedua-dua mangsa berusia 29 dan 30 tahun itu dilaporkan keluar memancing dan salah seorang dari mereka hilang keseimbangan sehingga terjatuh ke laut.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerahkan bersama aset ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang terjatuh diselamatkan oleh rakannya, namun bot yang terbiar tanpa pengemudi terus berpusing-pusing dan sukar untuk dinaiki semula oleh kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asby berkata, kedua-dua pemancing kemudiannya diselamatkan dan mereka terus dihantar ke Klinik Desa Kencana oleh ahli keluarga masing-masing.

Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan selamat dan stabil.

“Kejadian ini bukan bot karam seperti yang digembar-gemburkan orang awam sebaliknya hanya bot berpusing-pusing tanpa pengemudi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|