Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari

Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari

Kota Kinabalu: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang kemudiannya melarikan diri dalam kejadian di Jalan Tun Razak, dekat Sinsuran, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, mangsa Muhamad Azmi Atan, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami parah di kepala.

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi mangsa dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Tun Razak, dekat Sinsuran, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa ditemui terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang penunggang motosikal.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang dipercayai pejalan kaki disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan tanpa diketahui jenis dan nombor pendaftarannya.

“Pemeriksaan terhadap badan mangsa mendapati terdapat kecederaan parah di bahagian kepala berkemungkinan akibat kesan hentakkan objek keras di muka dan kepala.

“Polis turut mengesan satu kesan tayar di atas jalan pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor Muhammad Amirul Azri Zainal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|