Pejabat daerah perlu sedia pangkalan data pembangunan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pentadbiran di peringkat daerah diingatkan supaya menyediakan pangkalan data yang lengkap berkaitan potfolio daerah masing-masing bagi memudahkan proses pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setiap daerah perlu menyenaraikan projek pembangunan yang sedang dan akan dilakasanakan selain data penduduk di setiap kampung.

Bung Moktar menyampaikan hadiah utama peti sejuk kepada pengunjung bertuah rumah terbuka Aidilfitri UMNO Tenom.

“Dengan adanya bank data memudahkan kerajaan merancang dan melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan serta keperluan penduduk setempat.

“Ini juga penting agar tiada pertindihan peruntukan dari kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Tenom, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan yang juga Ketua UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi .

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pangkalan data itu penting bagi mengenal pasti projek pembangunan sedia ada di setiap daerah terutamanya bagi kes kerosakan jalan raya, jambatan dan parit.

Katanya, kemudahan itu sering dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) walaupun dibina dan dilaksanakan melalui peruntukan agensi lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bila ada data, kita dapat mengenal pasti dan menyampaikan maklumat cepat kepada agensi yang berkaitan untuk memperbaikinya,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu menambah Pegawai Daerah juga perlu tahu jumlah rumah dan penduduk setiap kampung di daerah masing-masing bagi memudahkan proses menyalurkan peruntukan dan bantuan selaras dengan keperluan masyarakat akar umbi.

“Data ini penting agar tidak ada penduduk terlepas daripada bantuan dan pembangunan insfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

“Kita (kerajaan ) mahu memastikan kemudahan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian agar keseimbangan dalam pembangunan dapat diwujudkan agar tiada masyarakat terpinggir daripada menikmati pembangunan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar turut menyarankan agar pentadbiran di peringkat daerah perlu beralih kepada sistem digital bagi membolehkan langkah penjimatan kewangan dalam sistem urus tadbir daerah.

“Pegawai-pegawai daerah perlu sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan koordinasi dalam sistem pentadbiran daerah dapat diwujudkan.

”Sekiranya struktur yang ada dalam sistem pentadbiran tidak dapat dikoordinasi dengan baik, ia akan menyebabkan berlakunya kelewatan pembangunan dan ketirisan kewangan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|