Tuaran: Tindakan pantas seorang pegawai bomba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri selepas lemas di Pantai Shahbandar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Baharin Bisoi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, dilaporkan secara kebetulan sedang beriadah cuti hujung minggu di pantai berkenaan.
Bagaimanapun, sebaik menyedari kejadian berkenaan, pegawai terbabit terus tampil memberi bantuan menyelamatkan mangsa berusia 20-an.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.50 petang.
Katanya, Abdul Baharin yang berada di luar waktu penugasan dan sedang beriadah bersama keluarganya segera membantu menyelamatkan mangsa lemas.
“Pegawai bomba bersama orang awam membantu menyelamatkan mangsa dan seterusnya membuat CPR kepada mangsa.
“Mangsa kembali bernafas kira-kira 3 hingga 5 minit selepas diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
-Deasoka