
Kota Kinabalu: Persatuan Kebajikan Pedalaman Bersatu (PEDABRO) membuat laporan polis berhubung satu kenyataan di Facebook yang menghina kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR), baru-baru ini.
Laporan polis itu dibuat Timbalan presidennya, Freddy Jones P Anthony dengan ditemani presiden persatuan, Asman Rafie Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, kelmarin.
Katanya, ia merujuk kepada kenyataan berbaur penghinaan yang dibuat pengguna Facebook dengan nama akaun Muhammad Zahid Al-Sulaiman dalam Group Facebook Suara Anak Sabah S.A.S.
Kenyataan itu katanya, didapati menggunakan perkataan lucah dan menghina kaum KDMR.
“Kami merasa tersinggung dengan kenyataan berbaur hinaan yang dikeluarkan itu dan kami mahu pemilik akaun Facebook berkenaan ditangkap, disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Hukuman undang-undang atau hukuman adat (Sogit) wajar dikenakan terhadap pemilik Facebook berkenaan,” kata Freddy ketika dihubungi.
Sementara itu, seorang penduduk Keningau, Jude R Sedomon turut membuat laporan polis berasingan, juga membabitkan isu sama di IPD Keningau, semalam.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan individu tidak bertanggungjawab itu mengguris hati rakyat Sabah khususnya kaum KDMR.
“Sabah terkenal dengan keharmonian kaumnya dan kenyataan seperti yang disiarkan dalam Facebook itu sama sekali tidak boleh diterima.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya dan mencari individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan perkauman itu,” katanya.
-Deasoka