
Papar: Daerah Papar terpilih sebagai tuan rumah Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) kali ke-38, selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Kejohanan terulung sepak takraw anjuran ASTAKA itu akan diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar bermula 4 hingga 7 Julai ini.
Presiden ASTAKA, Roslie Ibrahim berkata, kejohanan berkenaan akan menghimpunkan lebih 150 pemain sepak takraw terbaik dari seluruh negeri ini.
Katanya, ia melibatkan enam zon iaitu Zon Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pedalaman Atas , Pedalaman Bawah , Sandakan dan Tawau.
“Menerusi kejohanan ini, setiap pemain akan beraksi dalam format berpasukan iaitu regu lelaki dan regu wanita.
“Ia adalah medan terbaik untuk memilih pemain yang bagi mewakili negeri Sabah ke pertandingan Sepak Takraw League (STL), Piala Emas Khir Johari dan pertandingan lain di peringkat Kebangsaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Roslie berkata, antara panel pemilih yang terlibat ialah bekas pemain kebangsaan Thailand, Suthep Changkranusorn yang kini menjadi Konsultan Kejurulatihan Sepak Takraw Sabah dan Daut Amba selaku mantan Jurulatih sepaktakraw wanita kebangsaan.
Katanya, kejohanan kali ini akan diserikan lagi dengan kehadiran pemain-pemain yang mewakli pasukan sepaktakraw wanita kebangsaan dalam Kejohanan Sukan Asia dan Sukan Sea yang berasal dari Sabah.
“Antara pemain ini seperti Siti Hadinavilla Jumidil, Kamisah Khamis, Razmah Anam, Nadilatul Rosmahani Saidin, Nur Fateha Rossli, Nurfaezahni Masri dan ramai lagi pemain SUKMA Sabah.
“Bagi pemain lelaki yang pernah mewakili negeri dan bermain mengikut zon masing-masing pula ialah Jaxon Amputong, Daut Amba, Zulhelmi Zakaria, Mohammad Izwan Zukri, Shaufi Edul, Sarip Sahari Musiri, Sidek Asran, Mohd Shafirul Kasba dan ramai lagi,”katanya.
Majlis perasmian kejohanan akan disempurnakan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Gulam Haidar Khan Bahadar, di Dewan Masyarakat Papar, esok.
Sementara itu, Roslie turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN) kerana kejohanan kali ini dibiayai menerusi Geran Tahunan ASTAKA Sabah.
Katanya, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan bagi memastikan kejohanan ini dapat direalisasikan tahun ini.
“Penduduk di daerah Papar dan kawasan yang berhampiran serta seluruh peminat sepaktakraw Sabah dijemput hadir beramai-ramai untuk menyaksikan kejohanan ini,” katanya.
-Deasoka