Beaufort: Seorang lelaki yang dipercayai mampu menghasilkan senjata api buatan sendiri ditahan dalam operasi di rumah di Kampung Pansong, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 57 tahun berkenaan ditahan bersama selaras bakakuk dan beberapa lagi peralatan serta kelengkapan membuat senjata api buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Katanya, sebaik ditahan, suspek mengaku ada menyimpan senjata api dan peralatan membuat senjata api dirumahnya.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi berjaya merampas selaras bakakuk bersama 18 peralatan dan kelengkapan membuat senjata api.
“Suspek terus ditahan dan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, polis akan memohon tahanan reman terhadap suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960.
-Deasoka