
Putatan: Kempen Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina yang diadakan tahun ini berjaya menurunkan kes kemalangan di seluruh Sabah iaitu 345 kes berbanding tahun lalu sebanyak 376 kes.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penurunan kes kemalangan bagi tahun ini dipercayai berpunca daripada kesedaran pengguna terhadap keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Hasil operasi sehingga setakat ini kita berjaya mengurangkan kes kemalangan. Kalau Op Selamat 16 yang lalu, sebanyak 376 kes kemalangan dilaporkan tetapi pada Op Selamat 17 ini, sebanyak 345 kemalangan dilaporkan.
“Ini bererti berlaku penurunan dari segi jumlah kemalangan jalan raya dan saya percaya penurunan kes ini adalah berpunca dari kempen dan operasi yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain kesedaran masyarakat tentang peraturan dan etika pemanduan,” katanya ketika meninjau Op Selamat itu di Jalan Meruntum, di sini, hari ini.
Katanya lagi, melalui kempen Op Selamat ini juga PDRM bukan saja fokus kepada keselamatn nyawa dan fizikal tetapi turut memberi kesedaran dari segi keselamatan emosi pengguna jalan raya.
“Keselamatan emosi ini bererti bahawa kita sentiasa memastikan setiap pengguna jalan raya dalam keadaan selesa apabila berada di jalan raya.
“Kita tidak mahu ada pemandu yang sengaja memprovokai atau sengaja melakukan pemanduan yang menimbulkan rasa tidak senang dan tidak selesa di kalangan pemandu lain.
“Jadi sebab itu matlamat Op Selamat ini juga adalah kempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang etika pemanduan supaua isu keselamatan emosi pengguna jalan raya dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Jauteh turut memaklumkan seramai lapan tangkapan membabitkan kes kesalahan penyalahgunaan dadah sepanjang operasi dilaksanakan di seluruh Sabah.
“Kita bukan saja memeriksa dari segi kesalahan lalu lintas tetapi juga dari segi faktor lain contohnya dalam operasi ini juga beberapa tangkapan turut dibuat khususnya dalam penyalahgunaan dadah.
“Sehingga setakat ini, ada lapan tangkapan yang didapati positif dadah di seluruh Sabah,” katanya.
Terdahulu, seramai 39 anggota dan pegawai PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Op Bersepadu itu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.
-Deasoka