
Kota Kinabalu: Seorang pejalan kaki berusia 30 tahun cedera ringan selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di kawasan perniagaan Cyber City, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, kereta Perodua Myvi berkenaan yang dipercayai hilang kawalan turut merempuh pintu sebuah kedai perniagaan.

Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi berusia 24 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.55 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta pacuan empat roda Toyota Vigo dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi hilang kawalan sebelum melanggar pintu utama kedai dan seorang pejalan kaki wanita.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan terus diberi rawatan oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) menggunakan Ambulan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dilokasi.
Katanya, setakat ini, mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 1.20 petang.
-Deasoka