Motosikal bertembung, anggota bomba parah

Tenom: Seorang anggota bomba parah selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Sapung Kemabong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 39 tahun yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom dikatakan menunggang motosikal dalam perjalanan balik dari tempat kerja.

Anggota bomba yang parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.35 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan seorang anggota bomba yang bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 20 tahun.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.24 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|