Ranau: Seorang lelaki terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami AMS (Accute Mountain Sickness) di kilometer 5.3, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki berusia 52 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung serta renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke Timpohon Gate, mangsa didapati berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan bantuan pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam.
-Deasoka