Maut ditetak anak saudara

Lahad Datu: Berang selepas ditegur kerana sering memarahi ibu kandung sendiri. Seorang lelaki gagal mengawal diri apabila bertindak menetak bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Tradisi Desa Kencana, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, seorang lelaki berusia 55 tahun maut selepas ditetak di kepala menggunakan sabit pemotong sawit.

Suspek berjaya diberkas polis selepas menerima laporan.

Suspek yang berusia 24 tahun pula berjaya ditahan polis yang menjalankan siasatan sejurus selepas menerima laporan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mangsa maut dikenali sebagai Samak Hassan iaitu seorang warga asing yang bekerja di daerah ini tanpa dokumen sah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad

Katanya, siasatan lanjut mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak puas hati dengan mangsa kerana pernah menegurnya sebelum ini.

“Kejadian disaksikan seorang wanita yang sedang membasuh pakaian di kawasan berhampiran apabila suspek dilihat tiba-tiba menetak mangsa dari belakang.

“Suspek dikatakan menetak kepala mangsa menggunakan sabit pemotong buah sawit yang dibawanya,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, saksi yang ketakutan terus melarikan diri dari lokasi kejadian dan satu laporan polis dibuat oleh salah seorang penduduk kampung.

Sementara itu, Sapii berkata, siasatan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mendapati, mangsa meninggal dunia dengan kesan tetakan serta luka di kepala, leher dan badan.

Katanya, mayat mangsa terus dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan proses bedah siasat.

Sehubungan itu, Sapii berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di sebuah ladang sawit dan berjaya menahan suspek.

Katanya, turut dirampas pakaian yang digunakan ketika kejadian dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif jenis methapetamine.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|