MARA komited lahirkan usahawan luar bandar – Azizah

MARA komited lahirkan usahawan luar bandar – Azizah

Pitas: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan akan terus komited memperkasa program keusahawanan masyarakat luar bandar agar mampu meneroka serta memajukan potensi kekayaan yang dimiliki.

Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, setiap rakyat di negara ini layak diberi peluang meningkatkan keupayaan diri khususnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Azizah melancarkan produk usahawan program khas MARA di Pitas.

Katanya, sejajar dengan itu, MARA akan terus membantu meneroka potensi industri di sesuatu tempat melalui empat ekosistem lengkap iaitu membantu, membimbing usahawan baharu, memberi pendedahan, memantapkan serta memperkasakan usahawan sedia ada untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Seperti di Pitas ini terkenal dengan kepelbagaian industri yang boleh diterokai dan dikomersialkan bukan sahaja secara domestik malah di peringkat luar negara.

Azizah menyerahkan sumbangan CSR bantuan pendidikan Yayasan Pelajaran Mara RM5,000 kepada 50 pelajar yang diwakili ibu bapa di Pitas.

“Oleh itu, kita mesti memperluaskan kefahaman dan kesedaran serta pengetahuan rakyat mengenai potensi yang mereka miliki dalam memperkasakan agenda nasioal untuk memartabatkan bangsa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar Daerah Pitas di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah; Penolong Pegawai Daerah Pitas, Mark Hassan Libau; Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Tambah Azizah lagi, bagi membangunkan sektor keusahawanan di Sabah, seramai 3,843 usahawan Sabah telah mendapat kemudahan MARA melibatkan latihan keusahawanan, pensijilan, pendigitalan, pembiayaan lima perniagaan dan penyewaan premis perniagaan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM100.95 juta.

“MARA Sabah juga telah meluluskan sebanyak RM98.470 juta melibatkan pelbagai skim kemudahan pembiayaan Mara seperti Pembiayaan Kontrak SPIKE, SPIM dan Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) yang telah memberi manfaat seramai 1,121 orang usahawan di negeri Sabah.

“Pemerkasaan wanita juga merupakan satu agenda nasional yang menjadi wadah kepada pembinaan negara dan ekonomi. Walaupun dalam keadaan yang getir dan tidak menentu semasa pandemik Covid-19, peranan wanita khususnya mereka yang bergelar usahawan tidak pernah luntur dan kekal memainkan peranan sebagai penyumbang utama peningkatan ekonomi setempat dan secara amnya kepada negara.

“Melalui Program Latihan Keusahawanan Mara, sehingga 31 Mei 2022 seramai 9,421 orang usahawan wanita telah mendapat manfaat program ini. MARA juga telah memperkenalkan dua program baharu iaitu Program Pensijilan Usahawan MARA (2021) dan Program Pendigitalan Perniagaan MARA (2022) yang masing-masing memberi manfaat kepada 816 orang dan 107 orang usahawan wanita di Sabah ini,” katanya.

Katanya lagi, dari tahun 2020 sehingga 31 Mei 2022 pula seramai 1,121 usahawan Sabah telah mendapat pembiayaan perniagaan MARA melibatkan kelulusan sebanyak RM98.47 juta meliputi pelbagai skim pembiayaan yang disediakan.

“Daripada jumlah itu seramai 583 adalah usahawan wanita yang telah mendapat pembiayaan MARA pelbagai skim pembiayaan melibatkan peruntukan sebanyak RM39.9 juta. Daripada jumlah tersebut seramai 142 usahawan Wanita telah mendapat kelulusan untuk DanaNITA melibatkan peruntukan sebanyak RM6.2 juta,” katanya.

Sebelum itu, Azizah berkata, MARA Sabah menyasarkan pembabitan 60 peratus usahawan wanita terutama usahawan wanita luar bandar, golongan B40 dan juga ibu tunggal yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran tentang E-Commerce dan pemasaran digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Azizah menyeru kepada komuniti usahawan yang mengikuti program yang dianjurkan agar dapat selalu berhubung dengan MARA tentang peluang kemudahan yang ditawarkan khususnya dalam mendepani pasca pandemik yang mana kita sudah beralih kini ke fasa endemik.

Dalam majlis itu turut diadakan penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bantuan pendidikan RM5,000 kepada 50 pelajar di Pitas iaitu sumbangan wang tunai RM100 dan peralatan beg sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|