
Kudat: “Belum kami dapat dirikan rumah sendiri, tetapi sekali lagi musibah melanda apabila rumah transit yang kami diami musnah akibat kebakaran hampir dua minggu lalu,” kata Safiah Mamah, 51, salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang.
Menurut Safiah, rumah transit yang dia dan suami serta dua anaknya diami adalah ihsan rizab daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada 2015.

“Mahu bina baharu sudah tentu kami tidak mampu tetapi kami bersyukur apabila kerajaan negeri mengumumkan untuk memberi bantuan membina semula rumah yang musnah.
“Saya tidak mahu apa-apa, cuma mahu rumah saja supaya anak-anak dapat duduk dengan selesa memandangkan sesi persekolahan sudah bermula ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas terpaksa menumpang di rumah saudaranya di kampung itu, di
sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Jurinah Ahmad, 42, berharap dengan bantuan yang diberikan kerajaan akan dapat membina semula rumah mereka yang musnah secepat mungkin.
“Seramai 20 ahli keluarga saya tiada tempat tinggal ketika ini dan kami berharap dengan adanya bantuan itu kami dapat membina semula rumah baharu dengan segera,” katanya.
Katanya lagi, ketika ini mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu walaupun sudah hampir dua minggu ia berlaku.
Mengimbas semula kejadian itu, Jurinah berkata, ibunya yang juga pesakit jantung sehingga kini masih trauma apa yang menimpa mereka sekeluarga.
“Ketika kami sedang menyelamatkan diri, dia tiba-tiba pengsan di tengah jambatan.
“Kami terpaksa mengusungnya sejauh 200 meter sehingga ke jalan raya untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan memperuntukan sebanyak RM2.4 juta kepada 120 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran pada 16 Februari lalu.
Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan peruntukan untuk membeli bahan binaan sebanyak RM20,000 kepada setiap KIR yang terjejas untuk mereka membina rumah yang musnah dalam kebakaran itu.
-Deasoka