Kota Kinabalu: Banjir di negeri ini masih merekodkan angka yang tinggi dengan seramai 3,275 mangsa masih ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan lima daerah setakat pagi ini.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah setakat jam 8 pagi tadi, Kota Marudu kekal mencatat mangsa tertinggi iaitu seramai 2,668 orang yang dipindahkan di 14 PPS.
Daerah Pitas pula mencatat seramai 330 mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS, manakala di Telupid masih terdapat seramai 178 mangsa banjir di enam PPS.
Sementara itu, di Paitan seramai 54 mangsa masih berada di dua PPS, manakala di Sandakan hanya terdapat seramai 45 mangsa yang ditempatkan di satu PPS.
Dua PPS telah ditutup haru ini iaitu Dewan Kampung Binsulung di Paitan dan sebuah lagi di Dewan Kampung Bauto di Telupid selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Situasi keseluruhan keadaan banjir di daerah yang terjejas setakat ini dilaporkan kekal seperti semalam.
Sementara itu, tinjauan di Kota Marudu dan Pitas semalam mendapati keadaan banjir di kedua-dua daerah itu sudah mulai surut, namun mangsa belum dibenarkan pulang.
-Deasoka